Januari 11, 2013

Pelangi Senja

Ada beberapa pasang tangan yang cuba datang meraih perhatian. Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan, dia meneliti telapak tangan yang datang itu satu persatu. Ada yang berdebu, berhabuk, dan kasar. Selain meneliti telapak tangan, dia melihat hati.

Hati adalah budi. Hati menyampaikan bicara. Dia melihat hati dan budi itu saling berkaitan. Hati yang bersih, akan berhemah bila bicara. Perbuatan bermula dari hati dan hati nan indah digambarkan melalui perbuatan dan keikhlasan. Nah, keikhlasan semulajadi itu bukan sengaja dibuat-buat dan haruslah tanpa paksaan.

Dia perempuan yang seringkali di uji dan selalu menguji. Dia mengintrepretasi uji melalui perbuatan, tindakan, bahasa dan raut wajah. Dia mungkin serius dan rumit orangnya. Tetapi dia bukanlah orang yang gemar akan situasi yang merumitkan. Cuma kadangkala hal-hal dan detik-detik yang memerlukan kerahan otak akan menyebabkan dia berkerut dahi serta berpening sepanjang masa.

Semulajadinya dia suka gelak-gelak cemas dengan tak semena-mena. Adakalanya dia suka berdiam dan bertenang-tenang saja. Biasanya, moodnya boleh berubah mengikut kitaran hormon semasa. Adakalanya dia boleh berubah menjadi harimau bintang yang licik, pantas, laju dan penuh muslihat. Adakalanya dia boleh berubah menjadi kucing liar yang jinak, manja dan mesra. Dua dekad lebih berjalan, dia mula menyedari akan ketaranya perubahan moodnya itu bergantung pada kitaran hormon dan responsif terhadap suasana persekitaran.

Dia bertindak mengikut mood semasa. Jika datang mood bencana, dia bakal mencetuskan cuaca mendung, taufan tsunami atau puting beliung tanpa peringatan awal.

Sepanjang perjuangan meneguhkan cintanya. Sukar sekali untuk dia temui yang benar-benar berhati padu dan utuh. Cinta datang dan pergi. Namun yang nyata, angin puting beliung dan taufan tsunami yang datang tanpa diduga ini seringkali membangkitkan urat dan sendi. Kadang-kadang, dia alergik akan sesuatu perkara dan meloya sampai nak termuntah.

Dia perempuan tahan lasak yang biasa-biasa saja. Ataupun kadangkala dia buat-buat lasak sahaja agar kononnya dia nampak lasak.

Soalnya.. apakah dan mampukah lelaki itu menerima angin bencana dan pelangi senjanya yang muncul hanya seketika itu. 


Sabar dan tabahlah sayang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan